SiHijau

SiHijau
Green 4 Life

Saturday, October 29, 2011

Jejak Kesebelas : "Aku adalah SYAITAN!"

Dipetik daripada FACEBOOK : Pustaka Addin.
BismillahirRahmanirRahim
Seorang lelaki muda bangun di awal pagi utk solat subuh di masjid. Dia berpakaian, berwudu' dan berjalan menuju masjid. Di tengah jalan lelaki itu jatuh dan pakaiannya kotor. Dia bangkit, membersihkan bajunya, dan pulang ke rumah. Di rumah, dia berganti baju, berwudu', dan, berjalan menuju masjid.

Dlm perjalanan ke masjid, dia jatuh lagi di tempat yg sama! Dia, sekali lagi, bangkit, membersihkan dirinya dan kembali ke rumah. Dirumah, dia, sekali lagi berganti baju, berwudu' dan berjalan lagi menuju masjid.

Di tengah jalan menuju masjid, dia bertemu seorang lelaki yg memegang lampu. Dia menyapa lalu lelaki itu menjawab "Saya melihat kamu jatuh 2 kali di perjalanan menuju masjid, jadi saya bawakan lampu untuk menerangi jalan kamu.' Lelaki muda mengucapkan terima kasih dan mereka berdua berjalan ke masjid.

Saat sampai di masjid, lelaki muda itu mengajak teman barunya yang membawa lampu untuk masuk bersolat subuh bersamanya. Lelaki tadi menolak. Berkali-kali diajak tetapi jawapannya sama.

Lelaki muda bertanya, kenapa menolak untuk masuk bersolat. Lelaki pembawa lampu menjawab:

AKU ADALAH SYAITAN !

Lelaki muda itu sungguh terkejut..!

Syaitan menjelaskan, ''Saya melihat kamu berjalan ke masjid,dan sayalah yg membuat kamu terjatuh. Ketika kamu pulang ke rumah, membersihkan badan dan kembali ke masjid, Allah mengampunkan semua dosamu. Saya membuatmu jatuh kedua kalinya, dan itupun tidak membuatmu merubah fikiran tetapi tetap kembali ke masjid.

Kerana itu, Allah mengampunkan dosa seluruh keluargamu. Saya KHUATIR jika saya membuatmu jatuh ketiga kalinya, mungkin Allah akan mengampunkan dosa seluruh penduduk desamu, jadi saya harus memastikan bahwa kamu sampai dimasjid dgn selamat..'

MORAL :

Jangan abaikan suatu niat baik yg kita mahu lakukan, kerana kita tidak pernah tahu ganjaran yg bakal kita perolehi dari segala kesulitan yg kita hadapi demi melaksanakan niat baik tersebut .

Wednesday, April 13, 2011

Jejak Kesepuluh : Hiqmah Di Bumi Khalifah

dipetik dari : http://saifulislam.com/303

samb.....
Sejarah memperlihatkan bagaimana umat Islam cemerlang, gemilang dan terbilang ketika kaum wanitanya berada di rumah. Mungkin tiada statistik yang boleh saya kemukakan untuk menyokong dakwaan ini, tetapi sekurang-kurangnya strategi Ataturk ketika merancang kemusnahan Khilafah Othmaniyyah boleh dijadikan kayu ukur. Ataturk menyedari bahawa di antara unsur kekuatan pegangan umat Islam ialah pada kedudukan wanitanya. Masyarakat boleh diubah dengan mengubah wanita. Wanita memelihara rumah tangga, anak-anak dan suami. Institusi keluarga ini menjadi benteng pertahanan umat ketika berhadapan dengan proses pembaratan budaya dan cara hidup di kala itu.

Kerana itulah, Ataturk telah menyusun strateginya yang tersendiri. Atas nama hak sama rata antara lelaki dan wanita, Ataturk menggalakkan wanita bekerja, bermusafir keluar meninggalkan rumah, malah diberikan tempat di kerusi-kerusi parlimen. Bagi mereka yang dahagakan ‘kemajuan’ mereka melihat usaha Ataturk ini sebagai usaha pemodenan yang wajar disyukuri. Namun, strategi Ataturk berjaya. Institusi keluarga mula retak.

Lihat sahaja di dalam masyarakat kita. Kesan daripada wanita bekerja, telah menimbulkan pelbagai masalah di dalam masyarakat. Penjagaan anak-anak terpaksa diserahkan kepada pembantu rumah dan pusat penjagaan kanak-kanak. Lantas mereka terbentuk mengikut sifat pembantu rumah dan pusat berkenaan. Amat mendukacitakan, ada di antara umat Islam yang anak-anaknya dijaga, diberi makan dan dididik oleh pembantu rumah yang menyembah berhala dan ahli syirik. Bagaimana pula dengan hukum Islam yang melarang khalwat? Jika isteri belum pulang bekerja, suami duduk di rumah bersama anak-anak dan wanita bukan mahram yang menjadi pembantu rumah. Tidak sedikit kes-kes fahsya’ dan mungkar yang berlaku akibat situasi seperti ini. Begitu juga, anak-anak renggang dari ibu dan bapa, kasih sayang tidak sekukuh generasi lalu. Lantas bertambah-tambahlah ibu yang melahirkan bosnya sendiri sebagaimana yang diisyaratkan oleh Nabi SAW sebagai tanda kiamat di dalam Hadith Jibril yang masyhur itu. Kemunculan career women juga semakin bertambah. Mereka mengutamakan karier dan tidak berkahwin selepas mencecah usia lanjut. Semua ini menjadi barah stage 3 di dalam masyarakat.

Al-Marhum Said Hawwa telah mengulas berhubung dengan hal ini di dalam kitabnya al-Islam. Beliau menegaskan bahawa Uqubat Fithriyyah (balasan / hukuman fitrah) daripada wanita meninggalkan peranan mereka di rumah dan keluar bekerja, meliputi:
  1. Kecelaruan hubungan di antara lelaki dan perempuan serta hilangnya ketenangan dan kesejahteraan. Anak-anak tidak dapat mengecapi penjagaan oleh ibu bapanya dengan sempurna.
  2. Perempuan hilang rasa kebergantungan kepada suaminya dan ia menjadi ancaman yang besar kepada hubungan perkahwinan mereka.
  3. Wanita itu telah menolak tanggungjawab nafkah orang lain ke atas dirinya. Akibatnya, selepas mencapai usia tua dan uzur, wanita itu masih perlu bekerja seperti lelaki walaupun fizikalnya sudah tidak mengizinkan.
  4. Wanita kehilangan sifat-sifat kewanitaan yang dikhususkan kepadanya. Natijahnya, wanita itu sudah tidak lagi sesuai untuk memikul tanggungjawab asasinya seperti mengandung anak.
  5. Keretakan hubungan kekeluargaan berkembang menjadi krisis di dalam masyarakat.
  6. Ibu bapa yang baik tidak dapat mewariskan sifat-sifat mereka yang baik kepada anak-anak bahkan hubungan kasih sayang juga terjejas.
Kerana itulah Allah SWT menegaskan di dalam al-Quran surah al-Ahzab ayat 33 yang bermaksud, “dan tetapkanlah kedudukan kamu (wanita) di rumah dan janganlah sekali-kali kamu bertabarruj dengan tabarruj jahiliah yang pertama”.

Akan tetapi, untuk memujuk kaum wanita kembali ke rumah memainkan peranan mereka yang maha besar dan penting itu, bukanlah suatu yang mudah. Selain daripada terperangkapnya kita di dalam corak kehidupan sedemikian rupa, permintaan itu mungkin akan diperangi oleh pelbagai pertubuhan yang ditubuh dengan matlamat ‘menjaga hak-hak wanita’. Mungkin dengan penindasan dan suasana maha terpaksa sahajalah corak kehidupan seperti itu boleh berubah. Maka pada pandangan saya, apa yang berlaku di Turki mungkin amat besar hikmahnya.

Akibat tekanan yang amat besar, muslimat yang mulia pekerti itu terpaksa akur untuk tidak bekerja demi hijab dan agama. Lantas mereka hanya menjadi surirumah sepenuh masa menjaga anak-anak. Jika situasi seperti ini distrategi dengan baik, saya melihat ia sebagai suatu perubahan yang positif di dalam masyarakat. Wanita kembali kepada fitrah mereka. Bayangkan, anak-anak ini dididik oleh wanita berpendidikan tinggi dan berjiwa besar. Sudah tentu generasi yang lahir adalah lebih baik dan berkualiti berbanding dengan generasi belaian tangan pembantu rumah. Kita mengimpikan pendidikan yang baik untuk anak-anak. Jika situasi seperti ini boleh di’manfaat’kan oleh kita semua, mungkin usaha menyediakan pendidikan alternatif seperti home schooling boleh dijayakan dengan begitu baik sekali. Lihat sahaja usaha gigih masyarakat Muslim minoriti di Amerika Syarikat membangunkan sistem pendidikan Islam di sana. Mereka sudah berjaya sampai ke tahap mampu mengemukakan konsep home schooling sebagai pendidikan formal anak-anak yang diiktiraf Silibus Nasional negara. Halaman web www.muslimhomeschool.com wajar diteliti oleh kita semua.

Hal inilah yang saya sampaikan kepada isteri sahabat-sahabat saya di Turki. Berhentilah daripada meratapi nasib ini. Untuk jangka pendek ia mungkin suatu penindasan. Namun jika dilihat kepada masa depan, saya percaya bahawa perbuatan regim sekular menyekat kerja golongan Pengajian Islam dan wanita bertudung ini, akan menjadi suatu strategi yang mereka kesali. Penantian kita tidak lama, Insya Allah. Iaitu untuk suatu jangka masa yang dekat. Bak kata pepatah Turki “Her gelecek yakindir!” yang bermaksud ‘setiap suatu yang mendatang itu, adalah hampir’.

Semoga kemenangan Islam disegerakan Allah. Dalam masa yang sama saya berdoa semoga anak-anak saya terselamat dari fitnah kehidupan hari ini. Semoga rumahtangga saya dipelihara Allah ketika ia menjadi pondok kecil yang dirempuh badai metropolitan Kuala Lumpur yang menggila. Titisan air mata dan renungan terpaku ke lantai, akhirnya berubah menjadi dongak dagu kami ke langit dengan senyuman penuh makna… Beruntunglah mereka yang wanitanya berjaya mempertahankan fitrah.

Maafkan saya jika anda fikir analisa ini kolot dan ketinggalan zaman….

ABU SAIF
Cheras, Kuala Lumpur
24 Syawal 1425 / 6 Disember 2004

Wednesday, January 19, 2011

Jejak Kesembilan : Hiqmah Pendakian

BismillahirRahmanirRahim..
Kenapakah kita bersusah payah meredah hutan, bukit-bukau, menyusuri sungai berarus
deras, tebing curam, dan laluan becak.. Sanggup mengambil risiko yang begitu tinggi di
hutan yang dipenuhi binatang liar dan buas.. Sanggup meninggalkan dunia moden untuk
tidur di atas tanah, berhujan, berpenat-lelah dan menempuh pelbagai kesusahan dan
kesu...karan.. kadang-kadang trekking dalam hujan lebat dan malam yang gelap gelita..
Tidak semua orang sanggup melakukan apa yang kita lakukan..

Kepuasan dan kenikmatan.. Hanya para pendaki dapat merasai kepuasan dan
kenikmatan apabila mendaki gunung.. Keindahan pemandangan di puncak dan
mengharungi trek yang mencabar kekuatan fizikal dan mental adalah kepuasan yang
paling tinggi.. Walaupun tangan calar-balar meredah resam dan buluh, kaki krem
melayan pacak berjam-jam, tangan luka terpegang duri atau jatuh tergolek kita tetap
puas apabila berjaya mengharunginya.. Menawan puncak tidak sepatutnya dijadikan
matlamat sesuatu pendakian..
Kita seharusnya menghayati apa yang ada disekelilingnya..
Menikmati keindahan ciptaan Allah dan bersyukur kepada-Nya.. Namun
setiap pendaki mempunyai matlamat tersendiri.. Tepuk dada tanya selera.. yang penting
kita dapat mempelajari sesuatu dalam setiap pendakian..
Sebagai seorang pendaki kita perlu melengkapkan diri dari masa ke semasa dengan
ilmu-ilmu alam, survival, muka bumi dan segala ilmu yang berkaitan dengan aktiviti
yang kita jalankan agar dapat dijadikan panduan dan rujukan bila diperlukan.. Tidak
wajar sama sekali kita mendaki tanpa apa-apa ilmu didada.. Sekiranya berlaku
kecemasan, siapakah yang akan membantu kita dalam hutan belantara sana..

Pesanan terakhir, sekurang-kurangnya pelajarilah ilmu asas pendakian. Jadilah seorang
pendaki yang berilmu, beretika, tidak mementingkan diri sendiri walaupun dalam
keadaan terdesak sekalipun dan jangan sesekali berasa megah dengan diri sendiri..

- Pendaki Bebas -

Sunday, November 14, 2010

Jejak Kelapan : Sudikah Awak Menjadi Isteri Kedua Saya?

Dipetik dari sebuah halaman di Facebook..

Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Adam tegas dan yakin.
Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.
“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.
Mata Adam liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.
“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.
“Tak. Maksud saya ... ”
“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.
“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.
Adam diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.
Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Adam seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.
Adam muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.
“Ada hikmah,” bisik hati kecil Adam, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.
Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Adam sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.
Keyakinan serta keaktifan Adam berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Adam dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Adam. Bagi Fatimah, Adam seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Adam melamarnya menjadi isteri kedua.
Adam masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Adam tersebut. Bagi Fatimah, Adam tak ubah seperti lelaki lain.
Gerak kerja dakwah Adam berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya.Adam semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang semudanya.
Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Adam, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Adam.
Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Adam dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Aisyah. Adam sekali lagi gusar takut-takut Aisyah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Adam menemui Tuhannya, namun, Aisyah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?
Fikiran Adam bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Aisyah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.
Setelah merisik pemikiran Aisyah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Adam berjumpa dengan Aisyah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Adam mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.
“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Adam tanpa segan silu.
“Sudi..” jawab Aisyah ringkas.
“Er, betul ke ni?” tergagap Adam menerima jawapan Aisyah yang tenang dan yakin.
Aisyah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Adam.
“Kenapa saya?” tanya Adam ingin tahu.
“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Aisyah yakin tetapi sedikit malu.
“Baiklah,” jawab Adam tersenyum.


Akhirnya, Adam dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.
Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Aisyah, Adam terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Aisyah sangat membantu gerak kerja Adam semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Adam membawa Aisyah untuk membantu kerja dakwah seadanya.
Kadang-kala letih menyinggah Aisyah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Aisyah. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Aisyah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.
“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Aisyah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.
“Ye sayang?” jawab Adam sambil memandu.
“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Aisyah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.
“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Adam menoleh sedikit ke arah Aisyah, sambil tersenyum.
“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Aisyah riang.
Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Adam dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Aisyah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Adam yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Adam aktif dalam dakwah sebelum ini.
“Kita dah sampai,” Adam membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.
Adam berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Aisyah yang berdiri di sebelah kiri kereta.
“Itu isteri pertama abang,” Adam menuding jari ke arah khemah tersebut.
“Mana bang?” Aisyah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari suaminya.
“Tak nampak pun,” Aisyah meninggikan sedikit hadapan kakinya.
“Siapa nama isteri pertama abang?” Aisyah sangat berdebar.

Adam tersenyum lebar, memandang Aisyah penuh tenang.
“Perjuangan,” jawab Adam...

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

Friday, October 29, 2010

Jejak Ketujuh : Salam Imtihan

Dipetik daripada Facebook.

Doa memulakan ulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّيْ أَسْأَلُكَ فَهْمَ النَّبِيِّيْنَ وَحِفْظَ الْمُرْسَلِيْنَ وَالْمَلاَئِكَةِ الْمُقَرَّبِيْنَ. اَللَّهُمَّ اجْعَلْ لِسَانِيْ عَامِرًا بِذِكْرِكَ وَقَلْبِيْ مَلِيْئًا بِخَشْيَتِكَ، إِنَّكَ عَلَى مَا تَشَاءُ قَدِيْرٌ
Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon daripadaMu kefahaman para nabi, ingatan para rasul dan malaikat terhampir. Ya Allah! Jadikanlah lidahku basah dengan zikir kepadaMu, hatiku dipenuhi dengan takut kepadaMu. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala apa yang Engkau kehendaki.”

- Doa selepas mengulangkaji
اَللَّهُمَّ إِنِّي أَسْتَوْدِعُكَ مَا قَرَأْتُ وَمَا فَهِمْتُ وَمَا حَفِظْتُ فَرُدَّهُ إِلَيَّ عِنْدَ حَاجَتِيْ إِلَيْهِ، إِنَّكَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرٌ
Maksudnya: “Ya Allah! Sesungguhnya aku menitip apa yang aku baca, faham dan hafal kepadaMu. Maka kembalikanlah ia kepadaku ketika aku memerlukannya. Sesungguhnya Engkau maha berkuasa di atas segala sesuatu.”Doa Pada Hari PeperiksaanDicadangkan agar doa-doa berikut diucapkan pada hari peperiksaan, iaitu sebelum dan semasa peperiksaan berlangsung:

1. Ketika memasuki dewan peperiksaan:
 وَقُلْ رَبِّ أَدْخِلْنِي مُدْخَلَ صِدْقٍ وَأَخْرِجْنِي مُخْرَجَ صِدْقٍ وَاجْعَلْ لِي مِنْ لَدُنْكَ سُلْطَانًا نَصِيرًا
Maksudnya: “Dan katakanlah: “Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku daripada sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku.”

2. Ketika menerima kertas soalan:
قَالَ رَبِّ اشْرَحْ لِي صَدْرِي. وَيَسِّرْ لِي أَمْرِي. وَاحْلُلْ عُقْدَةً مِنْ لِسَانِي. يَفْقَهُوا قَوْلِي
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, lapangkanlah bagiku dadaku. Dan mudahkanlah bagiku tugasku. Dan lepaskanlah simpulan daripada lidahku, supaya mereka faham perkataanku.”

3. Ketika sukar menjawab:
ياَ حَيُّ يَا قَيُّوْمُ، بِرَحْمَتِكَ أَسْتَغِيْثُ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang maha hidup lagi maha berdiri dengan sendirinya. Dengan rahmatMu aku bermohon pertolongan.”

4. Atau:
اَللَّهُمَّ لاَ سَهْلَ إِلاَّ مَا جَعَلْتَهُ سَهْلاً وَأَنْتَ تَجْعَلُ الْحَزَنَ الصَّعْبَ إِنْ شِئْتَ سَهْلاً
Maksudnya: “Ya Allah! Tidak ada kesenangan melainkan pada perkara yang engkau jadikan kesenangan padanya. Dan engkau menjadikan kedukacitaan dan kesukaran sebagai mudah dan senang jika Engkau kehendaki.”

5. Jika anda terlupa jawapan:
اَللَّهُمَّ يَا جَامِعَ النَّاسِ لِيَوْمٍ لاَ رَيْبَ فِيْهِ اجْمَعْ عَلىَ ضَالَّتِيْ مَعْلُوْمَاتِيْ
Maksudnya: “Ya Allah! Tuhan yang menghimpunkan manusia pada hari yang tiada keraguan padanya. Himpunkan barangan dan maklumat yang hilang daripadaku


Salam Imtihan &
Selamat Menduduki Peperiksaan!
SEMOGA MAJU JAYA.